Platform Perniagaan IoT Asia Akan Bincang Trend, Kesan Terhadap Perniagaan Tempatan

Published in News

KUALA LUMPUR, 8 Ogos (Bernama) — Platform Perniagaan Internet of Things (IoT) Asia edisi ke-10 dijangka membincangkan trend dan peluang industri serta kesannya ke atas perniagaan Malaysia. Pameran itu yang akan diadakan pada 18-19 Ogos akan menyaksikan penyertaan 400 perusahaan tempatan yang mencari penyelesaian bagi pertumbuhan dan kecekapan perniagaan, kata penganjur acara Industry Platform yang berpangkalan di Singapura dalam satu kenyataan.

Pameran itu merupakan sebahagian daripada MyIoT Week 2016 yang dihoskan oleh MIMOS Bhd, yang berlangsung pada tarikh yang sama.

Industry Platform terlibat kebanyakannya dalam menganjurkan persidangan dan pameran Mesin-kepada-Mesin (M2M) dan IoT.

Pengarah Kanan dan Ketua Strategi Pasaran Korporat MIMOS Helmi Halim berkata IoT Malaysia ketika ini masih di peringkat awal dan kerajaan akan menumpukan kepada pewujudan nilai bagi pelaksanaan IoT dalam sektor strategik.

“IoT sudah pastinya mewujudkan peluang baharu, terutamanya dalam penggunaan dan perkhidmatan industri. Kami melihat peluang pertumbuhan besar bagi perusahaan kecil dan sederhana.

“Kami sedang berusaha untuk meningkatkan daya saing sektor pembuatan dan menambah baik Komuniti Bestari, yang berkaitan dengan pengukuhan pengangkutan bagi pergerakan di kawasan bandar,” katanya.

Satu tinjauan dijalankan dalam kalangan peserta berdaftar menunjukkan 48.88 peratus perusahaan tempatan telah mula meneroka dan melaksanakan penyelesaian IoT, tetapi hanya 4.17 peratus dilaporkan melihat manfaatnya.

Malaysia melancarkan Pelan Hala Tuju Strategik IoT Kebangsaan sebagai sebahagian daripada matlamatnya menjadi hab pembangunan IoT utama serantau.

Pelaksanaan IoT dijangka menyumbang RM9.5 bilion kepada Pendapatan Negara Kasar negara menjelang 2020 dan RM42.5 bilion menjelang 2025.

Source: Bernama

M.Hanis